Share

Silent Letters (Bahasa Malaysia)
Silent Letters (Bahasa Malaysia)
Author: Izzahkhai

01

-Watch your thoughts, they become your words. Watch your words, they become your actions. Watch your actions, they become your destiny-

______

Jam loceng berbunyi nyaring menandakan sudah pukul 5.45 pagi. Iman mematikan jam loceng tersebut lalu dia bangun dari pembaringan. Dia mengeliat malas.

Lampu biliknya dihidupkan dan dia mengambil tuala mandi yang disangkut berdekatan dengan bilik air. Dia memboloskan diri ke dalam bilik air untuk mandi. 

Setelah beberapa minit, dia keluar dari bilik air dan memakai baju biasa sahaja untuk mendirikan solat subuh terlebih dahulu. Usai solat, uniform lengkap sekolah disarungkan ke badannya.

"Beautiful" pujinya kepada diri sendiri. Pantulan cermin yang menampakkan dia yang lengkap memakai baju kurung putih dipadankan dengan kain biru muda itu dipujinya.

"Kalau aku tahu, dari dulu aku minta duduk Malaysia" katanya kepada diri sendiri. Kelihatan lebih sopan dan tertutup uniform sekolah di Malaysia berbanding di Singapura.

Tok! tok! tok! 

Pintu biliknya yang diketuk dari luar telah mematikan sesi menilik diri dihadapan cermin. Iman menoleh ke arah pintu sekilas sebelum memandang cermin semula.

"Iman dah siap belum?"

"Dah nak siap! Nanti kalau dah siap, Iman turun bawah, Mak Mah!" balas Iman separa kuat agar wanita itu dapat mendengarnya dengan jelas.

"Okey! Cepat sikit tahu!"

"Ya!" balasnya lagi. Dia menyikat rambutnya yang sudah kering itu.

Rambutnya yang separas pinggang itu diikat kemas gaya ekor kuda. Tidak mahu kelihatan tidak kemas pada hari pertama persekolahannya di Malaysia itu.

Lampu biliknya dimatikan dan dia keluar dari biliknya. Pintu ditutup rapat lalu dia berjalan menuruni tangga. Beg sekolahnya dipeluk erat.

"Selamat pagi, Mak Mah dan Pak Mat" ucap Iman lalu dia mengambil tempat di meja makan. Beg sekolahnya diletakkan di atas kerusi sebelah yang kosong. Dia mencedok sesenduk nasi goreng dan mula menjamah hidangan itu. 

"Selamat pagi, Iman" balas Mak Mah dan Pak Mat serentak.

Pak Mat merupakan pemandu peribadi keluarganya manakala Mak Mah pula merupakan pembantu rumah. Pasangan suami isteri ini sudah berkhidmat kepada keluarga Iman selama 18 tahun. Jangka masa yang agak lama.

Pasangan suami isteri ini mempunyai dua orang anak. Seorang sudah bekerja manakala lagi seorang masih lagi menyambung belajar. Pembelanjaan bagi biaya pembelajaran anak Pak Mat dan Mak Mah ditanggung oleh keluarga Iman.

Hidup pasangan suami isteri ini turut ditanggung keluarga Iman. Mereka bagaikan sebuah keluarga. Semuanya disebabkan ingin membalas jasa Pak Mat dan Mak Mah yang sudah lama berkhidmat.

"Mom dengan dad dah pergi kerja ke?" tanya Iman. Jam ditangannya dikerling. Jam sudah menunjukkan pukul 6.40 pagi.

"Dah. Baru saja tadi" balas Mak Mah. Dia mengambil tempat duduk di hadapan Iman. Kebiasaannya memang begitu. Dia dan suaminya akan menemani Iman menikmati sarapan.

Apabila mendengarkan jawapan Mak Mah itu, Iman mengeluh. Pembantu rumah yang sudah dianggap seperti ibu itu dipandang. Kemudian, pandangannya dikalihkan ke arah Pak Mat.

"Pak mat tak hantar ke?" tanya Iman lagi. 

"Tak. Dato' dengan datin suruh Pak Mat hantar Iman untuk hari pertama sekolah dekat Malaysia ini" jawab Pak Mat dengan intonasi yang lembut. Begitu kasih dia dengan anak majikannya itu yang sudah dianggap persis anak kandungnya sendiri.

"Iman dah siap belum? Cepat sikit. Malaysia ini pukul 7 dah sesak tahu" ujar Mak Mah. Dia cuba mengalihkan topik apabila melihat seraut wajah gadis muda itu sudah bertukar muram.

"Ya. Dah siap" balas Iman perlahan. Beg sekolahnya digalas ke bahu. Dia bangkit berdiri lalu menyalam tangan Mak Mah.

"Jom, Pak Mat" ajak Iman.

Pak Mat menganggukan kepalanya. Surat khabar diletakkan di atas meja lalu dia mengatur langkahnya keluar dari rumah diikuti Iman di belakangnya.

"Hati-hati" pesan Mak Mah. Iman menganggukan kepalanya lalu melambaikan tangannya. Langkah kakinya laju mengejar langkah kaki Pak Mat.

Kasut sekolahnya disarungkan ke kaki lalu dia memboloskan diri ke dalam kereta. Bahagian penumpang di sebelah pemandu menjadi pilihannya. Kereta mula bergerak meninggalkan rumah 2 tingkat milik keluarga Iman itu. 

Beginilah harian hidup seorang Iman Aulia. Begitu sukar untuk dia bertemu dengan Dato' Rizal Izham dan Datin Alina Afiqa, iaitu ayah dan ibu kandungnya. 

Jika bertemu sekalipun, pasti mereka sekadar bersemuka tidak sampai 10 minit. Kedua orang tuanya itu amat sibuk sekali bekerja. 

Sepanjang hidupnya, dia banyak menghabiskan masa bersama Pak Mat dan Mak Mah yang sudah dianggap sebagai orang tuanya itu. Banyak masanya dihabiskan bersama pasangan suami isteri itu berbanding keluarga kandungnya.

Kereta yang dipandu Pak Mat berhenti di hadapan sebuah sekolah yang tersergam indah. Hari-harinya bakal diisi dengan kehidupan barunya di negara kelahirannya itu.

"Terima kasih, Pak Mat" ucap Iman penuh sopan dan beradab. 

"Sama-sama. Belajar rajin-rajin. Ingat jangan buat masalah dekat sekolah" pesan Pak Mat. Iman tersenyum seraya itu menganggukan kepalanya.

Dia melangkah keluar dari kereta lalu mengatur langkah masuk ke dalam perkarangan sekolah itu. Terpegun dia melihat sekolah itu. Cantik.

Pelajar-pelajar sekolah yang berkeliaran di dalam perkarangan sekolah itu dipandangnya. Ada yang berhijab dan ada yang tidak berhijab sepertinya. 

"Pejabat dekat mana, eh?" gumamnya sendirian. Matanya melilau memandang blok-blok tersebut.

Terpinga-pinga dia melihat bangunan di sekolah itu. Dia tidak tahu mana satu yang harus ditujunya. Takut pula dia bakal tersesat jika dia pergi mengikut sesuka hatinya.

"Assalamualaikum. Cari apa, ya? Aku tengok lagi tadi kau macam cari sesuatu saja" sapa seorang gadis dengan sopan. 

Gadis yang mempunyai ketinggian yang lebih rendah berbandingnya nampak begitu sopan walaupun tidak berhijab. Senyuman manis juga terlakar dibibir gadis itu. Kelihatan manis sekali.

"Waalaikumsalam. Aku sebenarnya cari pejabat. Pejabat dekat mana, ya?" balas Iman. Senyuman dibalas dengan senyuman.

"Oh. Kau pelajar baru, eh? Jom ikut aku" ajak gadis itu. Iman tersenyum. Nampaknya nasibnya sebaik sahaja masuk ke sekolah itu begitu baik. Ada yang sudi membantunya.

"Aku Izatul Arienah. Panggil aku Izatul saja" ujar gadis itu. Dia memperkenalkan dirinya kepada Iman. Iman tersenyum lebar 

"Aku Iman Aulia. Panggil aku Iman. Nice to meet you, Izatul" balas Iman. Dia turut memperkenalkan dirinya.

"Nice to meet you too, Iman. Jadi kau dulu sekolah dekat mana sebelum pindah sekolah ini?" tanya Izatul sekadar ingin tahu.

"Singapore. Aku lahir dekat Malaysia tapi tinggal dekat Singapore. Ini aku pindah balik Malaysia sebab parents aku nak aku ambil SPM" balas Iman. 

"Oh macam itu" Izatul mengangguk faham. Mereka berdua berhenti di hadapan sebuah bilik yang merupakan pejabat sekolah itu.

"Dah sampai. Aku kena masuk kelas aku. Jumpa nanti" kata Izatul lalu melangkah pergi.

"Izatul!" panggil Iman. Izatul yang sudah beberapa langkah menjauhi Iman memusingkan badannya memandang Iman.

"Thank you!" ucap Iman dengan senyuman. Izatul turut sama tersenyum.

"Most welcome!" balas Izatul lalu dia menyambung langkahnya menuju ke kelasnya. Iman memerhati Izatul sehingga hilang dari pandangannya. 

Dia mengalihkan pandangannya memandang pejabat dihadapannya itu pula. Nafas ditarik dan dihembuskan perlahan. Pintu pejabat ditolak.

"Assalamualaikum" ucap Iman kepada seorang wanita yang berada di meja kerja. Betul-betul apabila dia melangkah masuk ke dalam pejabat, meja wanita tersebut berada berdekatan dengan pintu.

"Waalaikumsalam. Ya, boleh saya bantu?" balas wanita itu dengan ramah. 

"Saya Iman Aulia. Pelajar baru" ujar Iman. Dia memperkenalkan dirinya agar wanita itu mengenalinya.

"Oh Iman Aulia. Sekejap ya" Wanita itu membuka laci di mejanya lalu mengeluarkan sehelai kertas bersaiz A5. Sebelum itu, dia membuat panggilan bersama seseorang.

"Ini jadual waktu. Buku teks dah ada, kan? Awak ada bawa duit untuk beli buku tulis tak? Ke awak pakai buku tulis sekolah lama awak?" tanya wanita itu.

"Buku teks dah ada. Saya ada bawa duit. Saya beli buku tulis baru" balas Iman. Wanita itu menganggukan kepalanya lalu menulis sesuatu di atas resit.

Dia sudah membeli baru buku teks disebabkan stok buku teks di sekolah itu yang tidak cukup kerana sudah hampir ke pertengahan tahun untuk sekolah. 

"Okey. Ini awak punya jadual waktu. Kelas awak adalah 5A-2. Kelas sains tulen. Ini pula resit buku tulis. Beli dekat koperasi sekolah. Koperasi sekolah biasanya waktu ini dah buka" kata kerani itu sambil menghulur jadual kelasnya.

Iman menyambut huluran lalu mengucapkan terima kasih. Dia melangkah keluar dari pejabat tersebut. 

"Iman Aulia, kan?" tegur seorang wanita yang diagaknya salah seorang guru di sekolah itu.

"Ya, saya" 

"Saya Cikgu Tina. Guru kelas awak" ujar guru wanita tersebut yang cantik berlitup dengan tudung. 

"Awak nak terus ke kelas ke? Semua keperluan dah ada?" tanya Cikgu Tina kepada Iman.

"Saya kena pergi koperasi. Saya nak beli buku tulis" balas Iman. Cikgu Tina mengangguk faham.

"Ikut saya" ujar wanita itu. Iman hanya mengekori sahaja langkah wanita itu. Mereka berdua berhenti di hadapan koperasi. 

"Awak boleh beli buku tulis. Saya tunggu awak di kelas. Jalan ke kelas pula awak jalan saja terus ke blok itu. Kemudian, belok kanan. Tengok papan dekat atas pintu ada tulis 5A-2. Jangan awak termasuk 5A-1 pula" kata Cikgu Tina siap dengan pesanan.

"Baik, cikgu" Iman memerhati langkah Cikgu Tina lalu dia masuk ke dalam koperasi untuk membeli buku tulis. Usai membeli buku, dia mula mencari jalan menuju ke kelasnya.

"Jalan terus. Selepas itu, belok kanan" gumamnya perlahan. Papan di atas pintu yang tertulis nama kelas dilihat.

"5A-2. Betul lah ini" bisiknya perlahan. Tangannya naik mengetuk pintu kelas. Tidak lupa juga salam diberi.

"Awak boleh masuk" ujar Cikgu Tina dengan senyuman. Iman melangkah masuk ke dalam kelas itu dan berdiri di hadapan seisi kelas. Satu-persatu wajah rakan sekelasnya dipandang.

"Hari ni kita ada murid baru. Saya nak awak beri kerjasama dan tunjuk ajar dia. Faham?" 

"Faham!"

"Awak boleh perkenalkan diri awak dekat rakan-rakan awak" kata Cikgu Tina kepada Iman. Iman menganggukan kepalanya. Dia memandang semula seisi kelas.

"Hai. Nama saya Iman Aulia. Panggil saya Iman. Selamat berkenalan" ujar Iman dengan senyuman. 

Comments (1)
goodnovel comment avatar
kurniamamang
This is one of the best story I've read so far, but I can't seem to find any social media of you, so I can't show you how much I love your work
VIEW ALL COMMENTS

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status