Share

Empat

Setapak demi setapak, lorong yang dilalui itu semakin samar-samar dan 'berbau' misteri...

TING! Tong!

Ting! Tong!

Keluhan terluah jua apabila rumah berkenaan tidak punya penghuni. Bungkusan tadi terpaksa dibawanya balik tanpa berfikir untuk meninggalkan benda alah itu di luar pagar.

Setelah pulang dari situ, D merenung bungkusan tadi sambil menongkat dagu. Dirinya diasak ingin tahu akan kandungan benda alah berkenaan.

"Nak buka ke, tidak eh?" soalnya sendiri sambil mula menyentuh barang kepunyaan orang itu.

"Ah, buka sajalah." Tekad D seraya mengoyak pelekat sebelum isi sampul dikeluarkan.

Terbang pergi segala ketakutan pada ketidakjujurannya pada kala itu. Sesuatu telah menggamit anak mata lelaki belasan tahun tersebut.

"Eh? Ini kan keratan akhbar..." Langsung sahaja keinginan D untuk menyiasat perkara itu berkobar-kobar.

Dia cuba menyusun serta mencantumkan semula cebisan berkenaan demi memudahkan pembacaannya. Namun selepas beberapa detik, dahi si anak muda berkerut.

"Letupan... bergema... di pulau misteri." Tajuk utama akhbar tersebut dibacanya dengan perlahan-lahan.

Hal itu semakin memancing ingin tahunya.

"Pulau Batu merupakan pulau yang dahulunya pernah dihuni oleh 100 buah keluarga. Tetapi ia terpaksa ditutup sebelum diganti dengan sebuah pusat kesihatan..."

D menjeda pembacaannya. Puas dia mencungkil isi benak akan kewujudan tempat berkenaan. Tetapi ia sememangnya belum pernah dia ketahui lagi.

"Aku tak pernah tahu pulak pasal pulau ni. Dan..." D menyambung pembacaannya sebelum menyimpulkan pemahamannya.

"Oh, tempat ni! Ia tidak jauh dari Pekan Serai Wangi? Wah, menarik. Tapi..."

Malang sekali, cebisan kertas itu tidaklah sesempurna mana. Ada bahagian-bahagian yang hilang menyebabkan pelbagai andaian terlintas di fikiran D.

Jenuh menyental isi otak, D teringat pula akan 'suatu' sumber. Maka telefon pintar dalam saku ditarik keluar sebelum mendail nombor seseorang.

Tut! Tut!

Tidak lama kemudian, panggilan bersambung.

"Ha, D. Ada hal apa tiba-tiba telefon pak cik ni? Baru sekejap tadi pak cik keluar rumah, takkanlah dah rindu?" Mior bersuara di sana.

D menepuk dahi, "Eh, eh pak cik ni. Bukan pasal itulah. Tapi..."

"Tapi apa? Kamu nak duitlah ni? Aik, bukan ke pak cik ada tinggalkan duit untuk kamu di tempat biasa? Takkan dah habis?" celah Mior lagi.

"Aduh, pak cik. Benda ni tak ada kaitan dengan duitlah. Tapi D nak tanya sesuatu ni."

"Ha, nak tanya pasal apa pulak tu? Kamu ni kan, time pak cik dekat luar jugak kamu nak tanya itu ini. Haih."

D terpaksa menahan telinga dek leteran pak cik angkatnya itu.

"Pak cik ni, macamlah D pergi berjoli dengan duit pak cik tu. Hm... D cuma nak tahu pasal Pulau Batu itu. Pak cik tahu pulau tu dekat mana?"

Mior terperanjat.

"D, dari mana pulak kamu tahu pasal Pulau Batu itu? Kamu jangan berani-berani nak pergi ke sana, D. Kalau tidak, pak cik potong kaki kamu!"

D melihat telefonnya sekilas, 'Macamlah dia sanggup nak potong kaki anak angkat kesayangannya ni...'

"D, kamu dengar tak apa yang pak cik cakapkan ni?"

D menggulingkan bebola matanya, "Ya. D dengarlah, pak cik. Ha, tak apalah. D off dulu. Bye."

Tut! Talian diputuskan serta-merta.

*****

"AISH, budak ni kan!"

"Kenapa tu, Mior? Ada sesuatu yang tak kena ke?"

Mior berpaling ke kanan sambil menampal senyuman hambar, "Err... tak ada apalah."

"Jadi kita boleh teruskan rancangan kita?" soal lelaki yang menemani Mior dalam kereta tersebut.

Mior mengangguk perlahan, "Hmm... kita teruskan saja. Tak ada hal."

Jauh di sudut hatinya, tertimbus jutaan tanda tanya dan risau. Dia khuatir anak angkatnya itu akan menjejakkan kaki ke pulau berkenaan. Dia amat kenal dengan diri D yang sebenarnya - apabila dia punya tanda tanya, sampai ke lubang cacing dia mencari tahu.

Tetapi Mior berasa pelik lagikan curiga secara tiba-tiba.

'Tak. Jangan kata, bungkusan itu adalah punca D bertanya macam-macam? Aduh!'

Dia berharap sangat agar si anak angkat tidak nekad menyiasat. Itu saja.

*****

PUAS dia bertanya di sana sini, malah lelaki itu bersoal jawab pula dengan beberapa kakitangan polis di situ. Lantaran penerimaan mereka, membuatkan simpulan persoalan semakin rumit serta menggasak jiwanya.

"Pulau Batu atau orang sini panggil Pulau Penyakit sebab pulau tu dulu, tempat pesakit-pesakit misteri dan kronik ditempatkan. Sampailah pesakit-pesakit tu mati, tak berani orang lain nak jejak ke sana."

"Orang kampung sebelah panggil pulau tu, Pulau Keramat. Kata mereka, tempat tu berhantu. Mungkin sebab roh-roh pesakit di situ tak dikebumikan dengan betul, jadi 'mereka' bergentayangan di sana."

"Kamu jangan pergi ke sana, D. Dulu, dah ramai orang pergi meninjau pulau tu. Tapi mereka tak pernah kembali sampailah sekarang ini."

Begitulah penerangan dan buah mulut penduduk di sekitar perumahan. Walaupun pak ciknya melarang, tetapi D tetap juga berkeras untuk ke sana. Seakan-akan ada magnet yang menariknya untuk melakukan sesuatu.

"Pak cik, saya nak pergi ke Pulau Batu itu. Pak cik boleh tolong hantarkan?" Soalan D membuatkan beberapa orang nelayan kecil menjauhkan diri daripadanya.

Mereka semua beriak ketakutan.

"Aish! Apa dah jadi dengan orang-orang dekat sini? Kena sampuk dek hantu Pulau Batu ke?" D berjalan di sekitar pantai sambil mencari perahu atau bot yang mahu menghantarkannya ke seberang sana.

Akan tetapi, ia tidak membuahkan hasil. D hampa. Satu tin kosong disepak perlahan sebelum terkena pada sebuah bot yang bersederhana besar.

Pada mulanya, dia tidak mengambil peduli. Namun apabila corong telinga tertangkap nama pulau tersebut, otak D mula bergeliga.

"Jangan biarkan orang kampung tahu yang kita nak ke Pulau Batu itu. Faham!" Seorang lelaki yang mempunyai corak helang di lengan bersuara dengan tegas.

"Faham, tuan." Seorang lelaki yang berusia pula menjawab dan patuh.

Tepat pada firasat anak muda itu - ada sesuatu yang tidak kena dengan tempat yang ingin dia tuju ini. Jadi, dia kena berusaha keras  untuk mencari tahu.

D cuba menyelinap masuk ke dalam kenderaan air berkenaan dengan menyembunyikan diri dalam sebuah bekas ikan yang berwarna oren.

Tidak lama kemudian, bekas tersebut diangkat masuk ke dalam bot lalu diletakkan di bahagian bawah tempat duduk. Apabila suasana semakin sunyi, D keluar dari tempat persembunyiannya.

"Fuyoo! Inilah kerja gila yang pernah aku buat selama aku hidup." Dia berbicara sendiri.

Beg sandang dikenakan semula sebelum dia berpatah balik kepada bekas tadi. Ada sesuatu yang mengganggu kantung fikirannya.

Tutup bekas ikan dibuka semula dan segenap bekas itu diteliti.

 "Eh? Kenapa bekas ikan ni dibiarkan kosong?"

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status